| Kuantan, 13 April Setelah dua hari berkampung di Taman Budaya Negeri Pahang, Kumpulan Teater Senandika Universiti Malaysia Pahang (UMP) boleh bernafas lega melihat kejayaan mereka mementaskan empat karya seni mereka kepada orang ramai. 
Bertemakan Satu Evolusi, Satu Transformasi, fiesta yang merupakan pementasan sulung yang diadakan di luar kampus membuktikan kemampuan pelajar-pelajar dari universiti teknikal bergiat dalam seni teater setanding dengan pengiat teater lain.
Bertempat di Taman Budaya Negeri Pahang, Kumpulan Teater Senandika UMP menampilkan empat persembahan teater yang bertajuk, "Ubat" , "Tambat Kaki", "Teruk" dan "Kerusi" arahan dan lakonan sepenuhnya oleh 40 orang pelajar universiti ini.
Menurut Pengarah Program Fiesta Teater Senandika, Mohd Amiruddin Fadzli Mohamad Zaini, ini adalah kali pertama pementasan teater diadakan di luar kampus dan kali pertama pertandingan teater dilaksanakan setelah enam tahun penubuhan UMP.
" Fiesta teater ini bertujuan untuk memperkenalkan Kumpulan Teater Senandika kepada masyarakat luar kampus, mewujudkan jaringan antara Kumpulan Teater Senandika dan kumpulan-kumpulan teater lain di negeri Pahang.
" Pementasan ini juga sebagai persediaan untuk penyertaan Festival Teater Malaysia Peringkat Negeri Pahang pada Jun 2009 dan Festival Teater MAKUM pada Disember 2009.
" Walaupun kami tidak mempunyai latar belakang teater dan tiada bimbingan dari tenaga pengajar yang berpengalaman, itu tidak mematahkan semangat kami untuk bergiat dalam teater dan menjayakan pementasan ini" , jelas Mohd Amiruddin Fadzli sambil memberitahu latihan lakonan diadakan dalam tempoh persediaan selama sebulan.
Kesungguhan menjalani latihan terbukti berkesan apabila 40 barisan ahli mampu menghayati watak dengan baik sepanjang pementasan" , katanya.
" Ini adalah kerana minat yang mendalam disamping mendapat sokongan penuh dari pihak pengurusan universiti, " kata beliau.
Tambah beliau lagi, pementasan teater Tambat Kaki dan Teruk mendapat sambutan penuh apabila dipentaskan kepada orang ramai di panggung Taman Budaya Negeri Pahang.
Beliau berkata, selain dari pementasan ini, kumpulan Teater Senandika pernah memenangi tempat ketujuh keseluruhan festival MAKUM ke-8 dan tempat pertama antara enam universiti teknikal seluruh Malaysia.
Empat teater yang dipentaskan iaitu Ubat arahan Mohd Azlan Umar, mengemukakan tema kekejaman dan ketamakan manusia manakala teater "Teruk" pula mengemukakan tema konflik cinta akibat perbezaan darjat. Teater "Tambat Kaki" pula mengungkap sikap ahli politik yang sekadar berjanji kosong semasa pilihanraya dan teater Kerusi pula mengajak kita berfikir tentang soal kekuasaan dan kekejaman. 
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim, pengurusan UMP memberi sokongan penuh kepada pementasan teater ini yang merupakan salah satu cabang seni kreatif yang sihat yang menggalakkan kreativiti dan personaliti positif pelajar.
Menyedari pentingnya kreativiti sebagai katalis kecemerlangan sikap dan budaya kerja, pengurusan UMP telah meletakkan elemen tersebut dalam salah satu slogannya iaitu, Engineering, Technology and Creativity, katanya semasa merasmikan Fiesta Teater Senandika baru-baru ini. Majlis turut dihadiri Encik Mohd. Sukarno bin Abdul Wahab, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Pahang dan Datin Hajjah Faziah Ali, Ketua Timbalan Pendaftar, Jabatan Penyelidikan & Inovasi.
Menurut Daing Nasir, Fiesta Teater Senandika yang berlangsung selama dua hari baru-baru ini bolehlah dianggap sebagai showcase kreativiti para penggerak Kumpulan Teater UMP.
Daing Nasir berkata, sensitiviti dan kepekaan pelajar UMP terhadap isu-isu semasa telah dipancarkan melalui sentuhan kreatif mereka dalam teater-teater yang dipentaskan sepanjang fiesta ini.
" Dalam konteks ini, slogan Mahasiswa Jurubicara Masyarakat " juga boleh dilebarkan kepada hasil karya kreatif pelajar seperti teater, cerpen dan puisi bagi menyuarakan perspektif dan pandangan mereka terhadap isu-isu semasa.
" Menjadi jurubicara kepada masyarakat menuntut para pelajar menggunakan segala ruang dan peluang yang ada yang disesuaikan dengan pelbagai segmen audien yang ada di luar sana," katanya.
Daing Nasir juga turut menasihatkan semua penggiat teater, khususnya Senandika untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap karya yang digarap dan dipersembahkan mengambil kira nilai serta adab sopan tanpa menyentuh sensitiviti politik, agama dan kaum. 
" Tampilkanlah kematangan dan akauntibiliti dalam setiap karya yang digarap dan dipersembahkan.Saya yakin Kumpulan Teater Senandika UMP mempunyai potensi besar dan boleh maju ke hadapan, mengharumkan nama Universiti Malaysia Pahang, " katanya mengakhiri ucapan beliau kepada semua penggiat seni teater untuk terus mementaskan teater dan menghasilkan karya pada masa akan datang. |