Pusaka Sari merupakan sebuah naskah teater hasil nukilan panel skrip Kumpulan Teater Senandika. Naskah ini yang pada asalnya diilhamkan bersempena festival teater MAKUM, telah menjadi titik tolak yang merubah kebanyakan ahli kumpulan teater senandika.
Namun begitu, hari ini tidaklah saya mahu bercerita mengenai MAKUM. Sekadar mahu berkongsi gambar-gambar yang diambil sewaktu persembahan Pusaka Sari untuk Malam Inspirasi Seni 2008 (Credits to Gepeng!).
Saudari Sazila sebagai Inang Bayu.
Berselindung dibalik rupanya yang menawan dan tutur kata manis, tersembunyi seorang wanita yang sanggup membunuh hanya kerana cintanya terawang-awangan tak bersambut si pemain bonang. Licik dan kejam, namun akhirnya merana terkena tulah dan bala.
Sang Laksamana yang tewas di tangan seorang perempuan. Disebalik kegagahan dan karismanya, keegoannya telah meletakkan dirinya setahap dengan binatang-binatang buas yang kurang berakal tingkahnya.
Saudara Kay sebagai Arjuna dan Saudari Fazirah sebagai Puteri Ayu Kirana Sukmasari.Si pemain bonang instana dan sang puteri pewaris singgahsana. Pasangan yang dirundum bencana dek hasad dan dengki, mati ditangan si pengkhianat yang keji. Namun, mereka berjanji setia sehidup semati bila saja paluan bonang bergema lagi.
Begitulah sedikit sebanyak apa yang ingin dicerekakan pada kali ini. Sepanjang perjalanan kumpulan senandika, pusaka sari telah banyak mencorakkan apa yang kami kecapi sekarang. Walaupun ada pergeseran, walaupun berlaku tikaman, namun tetap senandika bersama, bergerak diatas paksi seni dengan desakan minat sendiri.



