Memaparkan catatan dengan label Foto. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Foto. Papar semua catatan

Senandika di Malam Sahutan Pewaris

Pada 30 Ogos 2008 yang lepas, Malam Sahutan Pewaris 2008 iaitu Majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan 2008 peringkat UMP telah diadakan di Astaka, UMP. Seperti tahun-tahun yang lepas, Kumpulan Teater Senandika turut sama memeriahkan malam tersebut dengan mementaskan sebuah drama. Secara tradisinya, persembahan drama pada malam tersebut merupakan salah satu projek ahli-ahli baharu Senandika iaitu pelajar-pelajar tahun 1 dengan bantuan dan tunjuk ajar ahli-ahli senior yang lain. Di bawah arahan pengarah muda, saudara Mohd Taufiq, Kumpulan Teater Senandika telah mementaskan Drama Baju Emas Sang Maharaja karya Dato' Johan Jaafar.



Sinopsis Baju Emas Sang Maharaja

Baju Emas Sang Maharaja menceritakan mengenai seorang nelayan tua dan anak lelakinya yang mencari rezeki dengan hanya menangkap ikan. Hidup umpama kais pagi makan pagi, tetapi hsil yang diperoleh tidak seberapa. Keluhan demi keluhan memaksa sang anak untuk mencari pekerjaan yang lain.

Ditakdirkan mereka bertemu dengan seorang pertapa yang sanggup membantu mengubah hidupan mereka. Baju emas yang dijaga bertahun-tahun oleh pertapa dan makhluk halus adalah amanat daripada Sang Maharaja.

Berkat Baju Emas Sang Maharaja, hajat si anak ditunaikan menjadi seorang raja. Sang anak lupa akan syarat memakai baju emas itu. Keangkuhan dan kezaliman menjadi kiblat pemerintahannya. Tunjang keimanan dan budi pekerti mulia diabaikannya.

Sang anak terus hanyut dalam khayalan hingga tidak lagi mengenali ayah sendiri. Bosan mendengar si ayah yang mengaku ayah kepadanya, lalu dia mengangkat tangan untuk memukul ayahnya dengan sebatang kayu. Namun, deik-detik tragis itu terhenti apabila tangan anaknya menjadi kaku.

Akhirnya, Baju Emas Sang Maharaja dirampas semula oleh pertapa dan makhluk-makhluk halus yang menjaganya. Penyesalan demi penyesalan menerpa di hati si anak, namun segalanya telah berakhir. Tragedi menarik itu rupa-rupanya hanyalah satu mimpi si anak setelah tertidur sekian lama.


Skrip asal Baju Emas Sang Maharaja telah diolah untuk disesuaikan dengan pementasan di Astaka UMP. Watak si ayah juga ditukar kepada watak si ibu atas kekangan-kekangan yang tertentu. Walaubagaimanapun, Kumpulan Teater Senandika telah berjaya mempersembahkan sebuah drama yang menarik sebagai pengisian malam penuh gemilang itu. Tahniah diucapkan kepada seluruh kerabat produksi Drama Baju Emas Sang Maharaja.

Majlis Konvokesyen Ke-3 UMP


Pada 23 Ogos 2008 yang lepas, Majlis Konvokesyen Ke-3 UMP telah berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang. Seluruh warga Senandika mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ahli-ahli Senandika yang telah bergraduasi pada majlis konvokesyen tersebut.

Azwan Bin Ismail
Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Elektronik)

Raja Azrul Asyadi Bin Raja Adnan
Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Elektronik)

Zamrie Bin Musa
Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian)

Muhamad Firdaus Bin Abdul Wahab
Diploma Kejuruteraan Elektrik (Elektronik Industri)

Mohd Syafiq Bin Bachok
Diploma Sains Komputer

Semoga kalian semua terus berusaha mengejar cita-cita dan berjaya dalam hidup. Kepada abang-abang senior yang telah menamatkan pengajian, semoga Senandika akan sentiasa kekal di hati. Tunjuk ajar dan pengalaman bersama kalian, kami kenang sampai bila-bila. Terima kasih Abang Raja, Abang Azwan dan Abang Zam.

Pusaka Sari di Malam Inspirasi Seni '08

Pusaka Sari merupakan sebuah naskah teater hasil nukilan panel skrip Kumpulan Teater Senandika. Naskah ini yang pada asalnya diilhamkan bersempena festival teater MAKUM, telah menjadi titik tolak yang merubah kebanyakan ahli kumpulan teater senandika.

Namun begitu, hari ini tidaklah saya mahu bercerita mengenai MAKUM. Sekadar mahu berkongsi gambar-gambar yang diambil sewaktu persembahan Pusaka Sari untuk Malam Inspirasi Seni 2008 (Credits to Gepeng!).

Saudari Sazila sebagai Inang Bayu.


Berselindung dibalik rupanya yang menawan dan tutur kata manis, tersembunyi seorang wanita yang sanggup membunuh hanya kerana cintanya terawang-awangan tak bersambut si pemain bonang. Licik dan kejam, namun akhirnya merana terkena tulah dan bala.

Saudara Peedot sebagai Megat Aduka.

Sang Laksamana yang tewas di tangan seorang perempuan. Disebalik kegagahan dan karismanya, keegoannya telah meletakkan dirinya setahap dengan binatang-binatang buas yang kurang berakal tingkahnya.

Saudara Kay sebagai Arjuna dan Saudari Fazirah sebagai Puteri Ayu Kirana Sukmasari.

Si pemain bonang instana dan sang puteri pewaris singgahsana. Pasangan yang dirundum bencana dek hasad dan dengki, mati ditangan si pengkhianat yang keji. Namun, mereka berjanji setia sehidup semati bila saja paluan bonang bergema lagi.

Begitulah sedikit sebanyak apa yang ingin dicerekakan pada kali ini. Sepanjang perjalanan kumpulan senandika, pusaka sari telah banyak mencorakkan apa yang kami kecapi sekarang. Walaupun ada pergeseran, walaupun berlaku tikaman, namun tetap senandika bersama, bergerak diatas paksi seni dengan desakan minat sendiri.

Oleh Farani Mustafa

Copyright © 2008 - Teater Senandika - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template