Memaparkan catatan dengan label Merdeka. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Merdeka. Papar semua catatan

Senandika di Malam Sahutan Pewaris

Pada 30 Ogos 2008 yang lepas, Malam Sahutan Pewaris 2008 iaitu Majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan 2008 peringkat UMP telah diadakan di Astaka, UMP. Seperti tahun-tahun yang lepas, Kumpulan Teater Senandika turut sama memeriahkan malam tersebut dengan mementaskan sebuah drama. Secara tradisinya, persembahan drama pada malam tersebut merupakan salah satu projek ahli-ahli baharu Senandika iaitu pelajar-pelajar tahun 1 dengan bantuan dan tunjuk ajar ahli-ahli senior yang lain. Di bawah arahan pengarah muda, saudara Mohd Taufiq, Kumpulan Teater Senandika telah mementaskan Drama Baju Emas Sang Maharaja karya Dato' Johan Jaafar.



Sinopsis Baju Emas Sang Maharaja

Baju Emas Sang Maharaja menceritakan mengenai seorang nelayan tua dan anak lelakinya yang mencari rezeki dengan hanya menangkap ikan. Hidup umpama kais pagi makan pagi, tetapi hsil yang diperoleh tidak seberapa. Keluhan demi keluhan memaksa sang anak untuk mencari pekerjaan yang lain.

Ditakdirkan mereka bertemu dengan seorang pertapa yang sanggup membantu mengubah hidupan mereka. Baju emas yang dijaga bertahun-tahun oleh pertapa dan makhluk halus adalah amanat daripada Sang Maharaja.

Berkat Baju Emas Sang Maharaja, hajat si anak ditunaikan menjadi seorang raja. Sang anak lupa akan syarat memakai baju emas itu. Keangkuhan dan kezaliman menjadi kiblat pemerintahannya. Tunjang keimanan dan budi pekerti mulia diabaikannya.

Sang anak terus hanyut dalam khayalan hingga tidak lagi mengenali ayah sendiri. Bosan mendengar si ayah yang mengaku ayah kepadanya, lalu dia mengangkat tangan untuk memukul ayahnya dengan sebatang kayu. Namun, deik-detik tragis itu terhenti apabila tangan anaknya menjadi kaku.

Akhirnya, Baju Emas Sang Maharaja dirampas semula oleh pertapa dan makhluk-makhluk halus yang menjaganya. Penyesalan demi penyesalan menerpa di hati si anak, namun segalanya telah berakhir. Tragedi menarik itu rupa-rupanya hanyalah satu mimpi si anak setelah tertidur sekian lama.


Skrip asal Baju Emas Sang Maharaja telah diolah untuk disesuaikan dengan pementasan di Astaka UMP. Watak si ayah juga ditukar kepada watak si ibu atas kekangan-kekangan yang tertentu. Walaubagaimanapun, Kumpulan Teater Senandika telah berjaya mempersembahkan sebuah drama yang menarik sebagai pengisian malam penuh gemilang itu. Tahniah diucapkan kepada seluruh kerabat produksi Drama Baju Emas Sang Maharaja.

Copyright © 2008 - Teater Senandika - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template